Tak lama lagi keputusan UPSR akan diumumkan. Yang paling risau menanti keputusan tersebut selain pelajar adalah guru dan ibu bapa. Saya berada di tempat seorang guru Sains tahun enam memang berdebar-debar menanti keputusan tersebut. Akan tetapi sewajarnya seorang ibu atau guru perlulah menerima setiap anak atau pelajar seadanya. Saya ingin kongsikan petikan daripada penulisan seorang tokoh motivasi, Dr Tengku Asmadi dalam buku Teknik Memotivasi Anak Cara Positif. Penulisannya mampu menmbangkitkan jiwa seorang ibu menjadi positif insyaAllah.
Walau apa sekali pun keadaan dan pencapaian anak kita, terimalah mereka seadanya. Usah sama sekali membezakan ataupun membanding-bandingkan mereka. Usah mengungkit apa yang telah kita lakukan kepada mereka. Tetapi kita sebagai ibu bapa perlu memberikan nasihat, menyatakan harapan, mendorong dan bercakap secara positif dengan mereka.
Ibu bapa perlu berpegang kepada prinsip akauntabiliti yang tinggi. Ia bermaksud bertanggungjawab sepenuhnya pada apa jua hasil dan tingkah laku anak-anak. Tidak menyalahkan orang lain sebaliknya menyalahkan diri sendiri dan menerima segalanya dengan hati terbuka. Ada ketikanya, masalah anak-anak itu sebagai ujian bagi kita. Ada kalanya bagi meningkatkan darjat kita di sisi Tuhan. Ada kalanya pula sebagai kifarah terhadap dosa-dosa lampau kita. Oleh itu, ibu bapa perlu berlapang dada dan percaya, matahari tetap muncul kembali esok hari selepas melalui malam yang panjang.
Jika anak itu dilahirkan cacat, dia tetap anak kita. Jika anak itu lemah dalam pelajaran, dia tetap anak kita sendiri. Darah daging kita. Terimalah seadanya anak itu dan lakukan apa sahaja supaya menjadikan dia anak yang hebat mengikut potensi dan kapasiti yang ada padanya.
Oleh itu, yang penting adalah memberi harapan kepada mereka. Memberi cahaya dan nafas baru dalam meneruskan kehidupan penuh liku. Itulah yang mereka mahukan daripada kita sebagai ibu bapa. Anak-anak mahu kita tidak berputus asa dengan mereka.
Wallahua’lam.
Artikel Berkaitan:
Ibu Bapa Turun Padang, Bukan Melepaskan Batuk Di Tangga
Tips Mendidik Anak Cemerlang (1)
Siapa Mendidik Anak Anda?
Panduan Memilih Tadika Untuk Anak
Menangani Perasaan Negatif Anak
No comments:
Post a Comment