Kehidupan ini seumpama Bunga, maka Cinta adalah Madunya Hidup ini bukanlah suatu Jalan yang Datar dan ditaburi Bunga, Melainkan adakalanya disirami Air Mata dan juga Darah. Prof Hamka
Sunday, March 25, 2012
Kasih Ibu Membawa Ke Syurga
Inilah kisah seorang lelaki yang amat dikasihi Nabi S.A.W. bernama Owais Al Qarni yang hidup suatu ketika di Yaman.Istimewanya Owais Al Qarni ini, dia ditimpa penyakit sopak (kulitnya putih di sana sini). Ayah Owais Al Qarni meninggal dunia sewaktu dia kecil. Owais bukanlah seorang yang terkenal di kalangan masyarakat setempat. Malah, waktunya dihabiskan demi beribadat dan menjaga ibunya yang uzur dan lumpuh.
Suatu hari ibu Owais terlalu ingin menunaikan ibadat Haji ke Mekah. Dia merayu agar Owais membawanya ke sana. Owais bukanlah seorang yang kaya. Namun dia tidak putus akal. Dibelinya seekor anak lembu dan dibuatkannya sebuah pondok di atas bukit di mana lembu ini diletakkan. Setiap hari, Owais akan memikul lembu ini menuruni bukit untuk diberi makan. Kemudian dipikulnya semula mendaki lereng bukit ke pondok yang disediakan.
Selepas beberapa bulan, anak lembu yang dibela Owais bertambah berat badannya. Manakala tubuh Owais pula menjadi tegap sasa, maklumlah hari-hari menggalas lembu yang semakin hari semakin bertambah berat badannya. Dan inilah yang sengaja dirancangkannya. Dengan badan yang sihat dan kuat, Owais berjaya mendukung ibunya merentas Yaman ke Mekah, meredah panas terik gurun yang amat memeritkan sesiapa sahaja, semata-mata untuk menyempurnakan hajat ibunya untuk menunaikan ibadat Haji. Selesai ibadat Haji, didukung ibunya lagi untuk kembali ke Yaman.
Mungkin kisah Owais Al Qarni ini akan tenggelam begitu sahaja dalam lipatan sejarah jika tidak kerana sabda Nabi S.A.W. yang pernah berpesan kepada Umar dan Ali r.a.:
"Akan lahir di kalangan Tabiin seorang insan yang doanya sangat makbul. Namanya Owais al-Qarni dan dia akan lahir di zaman kamu."
Mengikut riwayatnya, mulianya Owais Al Qarni ini bukan sahaja kerana ia pemuda soleh dan kuat beribadat, tetapi juga kerana dalam dan ikhlas cintanya kepada ibu kandungnya. Sehinggakan sanggup berbuat apa sahaja demi menggembirakan hati si ibu yang sudah tua. Nah, bukankah ini bukti yang cukup kuat betapa memuliakan ibu dan melayani segala karenahnya sekaligus membuka pintu syurga untuk anda dan saya?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment